Saturday, January 16, 2016

“Diari seorang isteri”

“Ibu, ambilkan ayah air.” Inilah rutin yang selalu didengar. Si isteri dengan patuh hanya mendengar arahan tersebut. Namun, jauh di sudut hatinya, jelas terpancar rasa lelah menjadi seorang isteri yang hanya mematuhi setiap daripada arahan suami. Kadang-kadang bukannya simpati yang dipinta tetapi hanyalah kemanjaan seorang suami..tetapi itulah kenyataannya pekerjaan si suami mempengaruhi ketegasannya dalam melayari rumah tangga. Mungkin sepanjang hidupnya si isteri, hanya arahan yang didengar, kadang-kadang kepatuhan hanyalah dilakukan dengan rasa marah. Namun jauh di sudut suami, sangat-sangat menyayangi keluarganya mungkin bagi dirinya sukar untuk mempamerkan rasa kasih dan sayang pada keluarganya. Lantas mungkin inilah luahan yang ingin dipamerkan kepada seorang insan yang bernama seorang isteri.
Isteriku,
Sungguh aku sangat-sangat menyayangi dirimu.
Panggilan ‘ibu’ kepada anak-anak kita jelas mempamerkan bahawa dikau benar-benar seorang srikandi yang sangat lembut.
Sepanjang hidupmu, diriku tidak pasti adakah aku terlalu bertindak sebagai seorang majikan kepada pekerjanya sepanjang pelayaran rumah tangga ini.
Saat, aku benar-benar menyedari dirimu sangat berharga adalah saat kau tidak putus-putus menjagaku semasa sakitku.
Aku tahu, kau sangat-sangat merindui kenangan yang kusendiri tidak pasti adakah ada kenangan manis antara kita.
‘Ibu’ ada air mata yang bergenang di matamu di saat aku terlantar di katil hospital. Sungguh pada saat itu, aku ingin mengesatnya.. ‘Ibu’ doakan ‘ayah’ sekiranya ‘ayah’ pergi dahulu. Mungkin ‘ayah’ tidak tahu bagaimana untuk menunjukkan rasa sayang pada ‘Ibu’. Berdoalah ‘Ibu’ semoga kita akan dipertemukan lagi dan ‘ayah’ mampu untuk menunjukkan rasa sayang ayah pada ‘ibu’ dan anak-anak.
Sungguh, ‘ayah’ memohon maaf atas kekurangan ayah. ‘Ibu’, ‘ayah’ sangat-sangat risau seandainya ‘ibu’ akan kesunyian nanti…tiada teman untuk bergaduh dan tiada lagi kelelahan untuk mematuhi segala arahan ‘ayah’. Namun, saat ‘ibu’ merindui ‘ayah’ sedekahkan ‘ayah’ surah al-Fatihah dan doakan semoga segala urusan ‘ayah’ di sana dipermudahkan. Kehilangan ‘ayah’ di dunia akan mendekatkan ‘ibu’ pada Allah..percayalah kerana ‘ayah’ memerlukan doa dari seorang isteri ‘ayah’ yang solehah dan anak-anak kita. ‘Redha dengan pemergian ‘ayah’ dengan doa namun ‘ayah’ percaya ada esak tangis di mata ‘Ibu’. Jangan lupa iringi rasa rindu pada ‘ayah’ dengan doa.. Mati itu pasti dan ‘ayah’ ditakdirkan untuk pergi terlebih dahulu..
‘Ayah’ sangat-sangat menyangi ‘Ibu’ sejak ‘ayah’ lafazkan akad. Maafkan ‘ayah’ sekiranya ‘ayah’ sukar mempamerkan rasa sayang tetapi setiap yang terjadi rahsia Allah. Insyallah ada ‘hadiah’ di sana nanti untuk isteri ‘ayah’ yang solehah khas daripada Allah. Bersabarlah isteriku, menghadapi kehidupan yang mendatang.
Al-Fatihah
Sesungguhnya, aku berdoa semoga Allah takdirkan mereka bahagia di syurga ilahi, setiap kepatuhan daripada insan yang bernama isteri akan dibinakan sebuah kebahagian di sana bersama suaminya yang tercinta. Janji ALLAH ITU BENAR!
 Dedikasi ini khas ditujukan kepada semua isteri yang telah kehilangan seorang insan yang sangat disayanginya. Sungguh redha seorang isteri di bawah keredhaan suaminya.


Tuesday, December 8, 2015

Warkah buatmu, Imamku

Aku mahu kau tahu, aku hanya manusia biasa,
tapi kau harus tahu aku mahu cuba sedaya upaya..

Allah...
Aku bukan sesiapa..
kerana aku hanya insan yang biasa,
Cuba mencari cinta keranaMu..

Allah...
Aku mohon,
Jangan jadikan aku sebagai punca kelalaian,
kerana aku mahu
Jadi bidadarinya,
Yang mampu mengingatkan dia saat alpa,
Yang mampu memaut tangannya saat dia rebah,
Yang berupaya membantunya tentang cinta AgungMu..

Aku bukan sesiapa..
Namun aku mahu cuba,
Menjadi pelangi yang mewarnai hidupnya,
Menjadi pelengkap apa yang dicari..

Aku bukan sesiapa...
Tapi aku mahu dia tahu,
aku sentiasa mahu jadi perantara,
dengan melihatku, dia tahu Kau ADA..
dengan memandangku,dia tahu Kau yang dia cinta.

Monday, May 5, 2014

Apabila Si Fakir Mula Berfikir

Bila Angan-angan menjadi nyata; Relakah aku atau bermuram durja??





Kemelut jiwa yang melanda, sungguh diri ini sedang berfikir. Sekali lagi fikiran ini menerawang membayangkan sekiranya Allah menarik kembali nikmat harta yang diberikan. Aku bukanlah insan kaya hanya cukup-cukup tetapi tiba-tiba aku mula berangan-angan seandainya secara tiba-tiba semuanya ditarik balik. Apakah aku akan terus menangis atau mula berfikir kembali, inilah padahnya jarang mensyukuri nikmat yang diberi. Gelaran sebagai seorang pelajar, membolehkan aku menerima biasiswa, komputer riba, tempat tinggal percuma dan juga sebuah kereta untuk memudahkan urusan aku belajar di ibu kota. Itu semua kemudahan yang aku peroleh. 

Saat ini, fikiranku mula menerawang sekiranya semuanya ditarik kembali. Bagaimanakah kehidupanku ketika itu?? Redhakah aku sekiranya Allah mengambil kembali apa yang telah dipinjamkan kepadaku?? Sudah tentu, aku akan mula mengeluh. Bukan itu sahaja, kemungkinan besar aku mula bertanya-tanya; kenapa semua ini terjadi padaku? Kenapa aku yang dipilih untuk diuji?? Aku lupa sebenarnya semuanya milik Allah..aku lupa aku hanya meminjam tetapi aku berlagak seolah-olah semuanya milik aku. Hakikat sebenarnya; kaya atau tidak sama sahaja. Si kaya diuji dengan kekayaan; adakah dia akan menggunakan kekayaan yang dipinjamkan oleh Allah ke arah yang sepatutnya atau terus berbangga menjadi majikan kepada pekerja-pekerjanya, si miskin pula diuji dengan kekurangan atau ketidakselesaan hidup menanggung beban hutang; mengeluhkah ia atau sentiasa berazam untuk melunaskan hutang dan terus berdoa; Allah……jangan ambil nyawaku lagi sekiranya aku masih belum melunaskan hutang-hutang 

Ya Allah… Hakikat kita sebenarnya peminjam nikmat daripada Allah yang punya hak kepada setiap nikmat di dunia. Ada yang diuji dengan nikmat yang tidak pernah cukup malah menghimpit hidupnya tetapi keluhan demi keluhan mengaburi mata daripada menyedari hakikat ujian hanyalah untuk mendekatkan. Ada pula yang diuji dengan nikmat kekayaan hidup; memiliki kereta, rumah yang mewah dan segala-galanya tetapi keselesaan menyebabkan hidupnya terus leka tanpa sedar bahawa Tuhan itu ada dan berhak untuk menarik kembali segala-galanya. Kembali menyedari hakikat, sekiranya komputer yang membantuku untuk menulis, berkarya hilang; relakah aku sekiranya Allah mengambil kembali haknya dengan cara yang sebegitu?? Ataupun keretaku yang baru kubeli ditarik balik?? Sediakah aku menanggung kesusahan, sediakah aku mengakui hakikat yang aku hanyalah seorang fakir yang tidak punya apa-apa. 

Terima kasih, Ya Allah atas setiap nikmat..lumrah kehidupan, yang hilang akan dirasai kegunaannya. Aku tersedar dan tersentak bahawa aku hanyalah hamba Allah yang bergelar sebagai peminjam nikmat. Malukah aku sekiranya aku disenarai hitamkan sebagai muflis sekiranya Allah berhak untuk mengambil kembali apa yang dipinjamnya dengan cara sebegitu? Namun, Allah sangat sayang akan hambaNya kerana kita masih lena diulit dengan keselesaan dunia tanpa seincipun berfikir bahawa pemiliknya ialah Allah!

Sunday, March 16, 2014

Tamatkan segala-galanya


Lirik Lagu GarisanMu - Izzat Mahadi


Berkali-kali cuba ku hampiri
Garisan penamat usaha merentang didepan mata
Bertali arus langkah ku tak terus
garisan ku rasakan halus tak bisa ku tembus
pemisahnya cuma aku dan doa pada diriMu
Antara putus asa sia-sia @ terus mara membara

Ya Rabbi Ya bantulah hambaMu
Ya Rabbi Ya luruskan hatiku
Ya Rabbi Ya ku pinta hidayahMu
Meneruskan sisa usiaku

Ya Rabbi Ya hanya kepadaMu
Ya Rabbi Ya tempatku mengadu
Ya Rabbi Ya ku pinta rahmatMu
Melimpahi kehidupanku

Hidup dan matiku semua hanyalah untukMu
Allah Tuhanku yang Satu


Ya Allah, sungguh kadang-kadang aku berasa sangat lemah.Aku buntu dan sukar untuk menjelaskan apa yang jadi pada diriku. Adakah aku tersasar jauh dari jalanMu atau aku yang menjauhi jalanMu. Aku cuba bangun dan bangun namun aku jatuh kembali. Banyak dosa yang aku lakukan namun diri ini masih lagi belum sedar tentang azabmu. Bantulah untuk aku sentiasa dekat denganMu.Pilihlah aku pada jalanMu supaya aku terus disisiMu. Allah.........jangan biarkan aku kembali pada detik jahiliahku yang lama. Kekalkan aku dalam jemaah sekiranya inilah jalan untuk mendekatkan diri denganMu. Sungguh mungkin jemaah inilah jalan untuk aku menuju padaMu dan satu-satunya wasilah yang membolehkan aku menuntut ilmuMu. Lapangkan diri ini dari rasa cinta yang sia-sia.  

Friday, November 22, 2013

Impian dan Harapan

Masa yang berlalu memang terlalu pantas, hampir penamat aku menamatkan zaman belajar dan melangkah ke zaman kerjaya, mampukah aku memikul tanggungjawab tersebut sedangkan masih banyak lagi tanggungjawab terhadap keluarga yang masih belum settle..terutamanya tentang ukhwah antara aku dan keluargaku.. Ya Allah, apakah kesudahannya?? Adakah kedua-dua belah pihak masih ego dan akan terus ego??? Sunnguh, ketika perjalanan pulang ke Kedah, aku diuji dengan keretaku sekali lagi rosak.. Mak sangat-sangat risau aku akan ke rumah kakak..Ah mana mungkin aku ke sana kerana aku tahu, keadaan akan jadi lebih teruk seandainya aku ke sana. namun jauh di sudut hati, aku sangat-sangat merindui dia yang pernah mengambil berat akan diriku. Masih lagi teringat tentang anak patung yang dia berikan pada diriku, anak patung Doreamon yang besar. Sentiasa kuingat dirinya banyak menjaga diriku, ketika aku ke rumahnya, membawa ku bersiar-siar di Perlis Indera kayangan. Memori aku pernah mengurut kakinya tidak pernah kulupa. Ya, aku sangat merindui dirnya yang bernama seorang kakak. Allah menjadi saksi bahawa aku tidak pernah melupakan dirimu. Sampai bila keluarga kita akan terus porak peranda begini, dan sampai bila kakak akan menafikan yang kakak memang anak ayah?? Anak kandung ayah.... Kakak,sekeras mana pun hati ayah, adik sangat-sangat yakin ayah akan memaafkan jika kakak punya inisiatif untuk memohon maaf pada ayah. Kakak, adik mungkin akan menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, tapi............ mungkinkah majlis tersebut tanpa kakak di sisi?? Kakak, ia sangat-sangat tidak adil sekiranya semasa perkahwinan abang Long dan Angah, kakak ada untuk menguruskan segala-galanya tapi bila tiba giliran adik, kakak tidak ada?? Kakak, mungkinkah sebuah majlis itu lengkap tanpa kehadiran kakak?? Kakak, sukarnya untuk adik membayangkan semua itu...Tahun hadapan zaman pengajian adik bakal tamat, dan mungkin tak beberapa lama selepas itu, adik mungkin melangkah ke fasa keluarga...dan adik agak sukar sekiranya ia berlangsung tanpa kehadiran kakak... kakak, ain sangat-sangat merindui dirimu...........kembalilah pada sisi kami 

Thursday, October 3, 2013

Taman-taman Syurga

Allahuakbar! Indahnya usrah. Alhamdulillah selesai usrah yang pertama dengan adik-adik. Sungguh mereka sangat hebat dan sangat berilmiah. Kata-kata dan pendapat yang diberikan sangat menyentuh hati. Lain benar dengan sikapku yang pertama kali disentuh oleh dunia tarbiyah; lebih banyak mendengar dan berdiam, sukar mulutku untuk mengeluarkan kata. Tapi hebat benar adik-adik tadi. Senoga iman mereka terus mantap dan kukuh. Bukan niatku untuk menghamburkan segunung pujian pada mereka namun aku tertarik dengan kata-kata seorang adik yang menganalogikan kita dengan bidadari syurga; analogi yang sangat indah:
Akak, kita ni ibarat bidadari syurga yang tercampak ke dunia, kemudian kita perlu mencari antara satu sama lain dan ditemukan dalam satu usrah dan seandainya ada yang berlari-lari bersama-sama untuk menuju syurga dan terjatuh, kita perlu sama-sama membantunya untuk bangun semula.
Aku akui, aku bukanlah seorang ustazah yang mampu untuk memberikan ilmu agama kepada adik-adik yang kusayangi hanyalah berkongsi setitik ilmu yang aku peroleh daripada pengalaman hidupku sedikit sebanyak. Perkongsian ilmu yang disampaikan hanyalah meliputi aspek pengalamanku sendiri ditarbiyah. Usia tarbiyah yang lama bukan penentu kematangan diri. Apabila aku mula mentajmik adik-adik, aku mula sedar bahawa masih banyak ilmu yang belum aku gapai, berkesankah tarbiyah itu pada diriku sekiranya aku masih di takuk lama? Sungguh sukarnya mencari cinta Allah. Benarlah cintanya sangat mahal dan tak ternilai patutlah yang bercinta denganNya diuji dengan pelbagai dugaan. Kesakitan menerima ujian itu manis apabila dekat dengan Allah. sedangkan kekasih Allah sendiri diuji apatah lagi kita, hamba yang biasa. Aku perlu membuka lembaran baru, kata Ustaz Khairi, jika nak ubah orang, ubahlah diri sendiri. Banyak sangat kelemahan yang aku perlu ubah. Tenyata kita cuma hambaNya yang sangat-sangat lemah usah mengeluh wahai diri kerana ternyata 'Aku ada Dia!' 

Tuesday, October 1, 2013

Sungguh, Dugaan Itu Kasih SayangNya

Ya Allah, lama benar membiarkan diari hati ini terus berhabuk menyepi. Bukan niat di hati membiarkannya kosong namun kerana kesibukan dunia membuatkan diri benar-benar lupa menulis diari hati di bloggers. Kesibukan dunia praktikum banyak memberikan ilmu yang baharu, serta ilmu bahawa jika seorang dai'e tidak disibukkan dengan hal-hal agama maka dia akan disibukkan dengan hal-hal dunia. Ya Allah, sungguh kesibukan dunia menjadikan aku leka dibuai mimpi, semakin jauh dengan dunia tarbiyah. Ya Allah, itukah tanda Kau sedang mengujiku dengan kealpaan. Kesibukan dunia menjadikan aku sepi dari kerja-kerja dakwah dan memberikan seribu satu alasan bahawa aku sibuk dengan hal-hal dunia. Selama mana aku menyepikan diri dalam fasa praktikum dua bulan selama itulah jiwaku benar-benar kosong. Ah, pentingnya tarbiyah dalam hidupku. Sungguh ketika aku kembali ke maktab meneruskan pengajianku kembali dan menyambung kerja-kerja harian dan juga kembali kepada fikrahku, baru kusedar bahawa aku sangat-sangat merindui kerja-kerja dakwah. Ya, aku perlu ubah matlamat bahawa aku perlu berusaha untuk cemerlang supaya aku mampu membuktikan bahawa kerja-kerja dakwah bukan penghalang untuk cemerlang. Sebelum aku keluar, aku cuba untuk rapat dengan adik-adik junior supaya ada pelapis yang masih berminat dengan kerja-kerja asing ini. Ramai yang mengatakan bahawa kerja dakwah bukan satu kepentingan berbanding pengajian tapi bagiku itu makanan rohani, jiwaku benar-benar kosong sekiranya tidak diisi dengan kelelahan kerja-kerja dakwah. Aku mula berazam untuk terus kuat berada di jalan ini. Ya, aku ingin aktif dengan kerja dakwah dan dalam pada masa yang sama aku perlu cemerlang dalam pembelajaranku dan cuba sedaya upaya untuk dapatkan ijazah kelas pertama, dan tentang jodoh yang banyak bertanya padaku, dan ini jawapanku, bahawa aku sudah punya pilihan; insan yang membawa fikrah yang sama denganku supaya aku mampu untuk terus hidup dengan kerja-kerja dakwah sehingga akhir hayatku dan di catatan diari ini juga aku catatkan bahawa aku perlu berikhtiar supaya aku dipostingkan di Kuala Lunpur supaya aku boleh berkhidmat untuk jalan dakwah yang aku sangat cintai. Semoga insan-insan yang sama fikrah dan amal jami'enya dengannku terus thabat dengan jalan dakwah. Kalian kena kuat kerana kalian antara insan-insan yang bakal berada dalam catatan sejarah kegemilangan Islam. Kita perlu bersatu kerana Islam kerana akidah dan bukan berpecah kerana berbeza fahaman politik, Allah telah berfirman bahawa setiap mukmin itu bersaudara.!

Aku Selalu Berkata Baik

Aku Selalu Berkata Baik

About Me

My photo
Ya Allah,diri ini mencintai agamamu,kuatkan imanku,pertahankan agamaku supaya setiap perjalanan diri ini mengingati syariatMu.

Followers

Ukhwahfillah

Mawar Berduri